Assalamualaikum w.b.t.
Solat Sunat Tahajjud adalah solat sunat yang dilakukan apabila terjaga daripada tidur. Kebiasaan solat ini dilakukan pada 1/3 malam atau lebih tepat lagi sekitar pukul 3 hingga 4 pagi sebelum waktu subuh. Jumlah rakaat tidak terbatas dan dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat.
InsyaAllah, banyak fadhilat yang diperoleh jika kita istiqamah dalam melakukan Solat Sunat Tahajjud ini. Antaranya ialah
- Mendapat pengawasan Allah dan menampakkan kesan ketaatan di wajahnya.
- Dikasihi oleh para ahli ibadah dan org mukmin.
- Percakapannya menjadi hikmah dan bijaksana.
- Dimudahkan hisab ke atasnya.
- Mendapat catatan amal dari tangan kanan.
- Doanya akan dikabulkan oleh Allah SWT.
Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.
Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Lafaz Niat Solat Sunat Tahajjud
أصَلِّي سُنَّةَ التَهَجُّدِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ
Sahaja aku sembahyang sunnat tahajjud dua rakaat kerana Allah Ta’ala
Rakaat Pertama:
- Surah Al-Fatihah
- Surah Al-Kafirun
Rakaat Kedua:
- Surah Al-Fatihah
- Surah Al-Ikhlas
Kelebihan Solat Malam
Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: “Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajjud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:-
- Jauh daripada segala penyakit
- Lahir kesan taqwa pada wajahnya
- Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia
- Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan)
- Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)
Sementara empat perkara di akhirat ialah:-
- Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri
- Dipermudahkan hisab
- Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat
- Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.”
Solat malam adalah solat yang penting antara solat-solat sunat yang lain. Rasulullah S.A.W pernah ditanya, “Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu?” Beliau menjawab dengan tegas, “Solat malam!” (Hadis Riwayat Muslim).
Beberapa keutamaan yang diperoleh oleh para pengamal solat malam adalah seperti berikut:
- Tercatat sebagai orang yang baik dan berhak mendapat anugerah rahmatnya (Surah adz-Dzariyat ayat 15 hingga 18).
- Mendapat penyempurnaan di atas kekurangan dalam ibadat wajibnya, hingga dapat menempati darjat yang terpuji (Surah al-Israk ayat 79).
- Mendapat pujian daripada Allah (Surah al-Furqan ayat 63 hingga 64).
- Dilihat sebagai orang yang beriman (Surah as-Sajadah ayat 16).
- Darjatnya dibezakan dengan orang yang malas (Surah az-Zumar ayat 9).
Dari Thaus, beliau mendengar Ibnu Abbas RA berkata bahawa setiap kali Rasulullah SAW bangun pada malam hari untuk solat Tahajjud, Rasulullah SAW mengucapkan : Ya Allah, bagiMu segala puji. Engkau penegak langit dan bumi dan segala isinya. BagiMulah segala puji’. Bagimu kerajaan langit dan bumi serta isinya. Dan bagiMulah segala puji cahaya bagi langit dan bumi, Engkaulah yang benar, dan janjiMu adalah benar, dan syurga adalah benar, dan neraka adalah benar, dan nabi-nabi itu adalah benar, dan nabi Muhammad saw, adalah benar, dan saat hari kiamat itu adalah benar, ya Allah, kepadaMulah kami menyerah diri, kepadaMulah kami beriman, kepadaMulah kami bertawakkal, kepadaMulah kami bertaubat, Dengan pertolonganMulah kami membantah (orang kafir), kepadaMulah kami berhukum. Ampunilah kami atas kesalahan yang sudah kami lakukan dan yang belum kami lakukan, baik yang kami sembunyikan mahupun yang kami nyatakan. Engkaulah Tuhan yang terdahulu dan Tuhan yang terakhir. Tiada Tuhan melainkan Engkau. Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah.” Hadis riwayat Bukhari.
Credit to : Tayibah dan Pakarhowto

